Saturday, September 26, 2015

Pergi

“Kau dah bangun ke belum?” aku hantar satu mesej kepada Firdaus ketika jam menunjukkan pukul 10 pagi. Aku periksa kembali telefon bimbit selepas mandi dan mengemas bilik untuk melihat kalau-kalau ada mesej daripada Firdaus, namun masih belum ada. Aku berkira-kira hendak menunggu sehingga dia membalas mesej atau terus serbu ke rumah dia. Aku syak Firdaus ni masih terbongkang atas katil lagi ni. Dasar pemalas nak bangun pagi. 

Hari sabtu adalah hari ke study. Sudah mejadi kebiasaan untuk aku dan Firdaus serta kawan-kawan yang lain (kalau ada) untuk belajar bersama. Kadang-kadang kami akan ke library. Saja.  Cuci mata tengok awek cun and the geng study di library. Aku yang bagi cadangan untuk tukar angin. Si Firdaus setuju sebab dia ada agenda lain. Ah aku pun lebih kurang sama je.

“Kau tak bangun lagi ke?” aku cuba menghantar satu lagi mesej.

Tiada balasan.

Ada sebab kenapa aku tak terus pergi ke rumah Firdaus dan menyebabkan aku berfikir lama. Mama dan papa Firdaus. Mesti mereka ada di rumah sekarang ini. Sah-sah la sekarang ini hujung minggu. Mustahil lah mereka pergi kerja. Namun memikirkan Firdaus tidak membalas mesej aku dari tadi aku rasa aku perlu pergi ke rumahnya dan mengejutnya dan meneruskan aktiviti yang biasanya kami lakukan bersama pada hujung minggu.

Aku pergi ke ruang tamu sambil menanti Firdaus membalas mesej aku. Butang alat kawalan jauh Astro aku tekan. Beberapa siaran ditukar. Ada filem cinta melayu. Drama aksi Hollywood. Namun masih belum dapat menghilangkan rasa bosan menunggu. Akhir sekali aku tekan angka 103. Siaran kartun terpapar di kaca TV yang aku tak rasa aku pernah menontonnya sebelum ini. Dah lama rasanya tak tengok cerita kartun waktu pagi hujung minggu macam ini. Aku biarkan siaran itu di pasang dan menuju ke dapur untuk membuat Milo ais. Susu dan milo di masukkan di dalam cawan. Aku duduk di kerusi menanti air untuk masak. Lempeng telur di atas meja mengingatkan aku kembali dengan peristiwa kira-kira lima tahun yang lalu ketika Firdaus masih kerap datang dan tidur di rumah aku.

Hari jumaat. Malam sebelum hari jadi aku. Firdaus, akak dan adik aku plan prank untuk kenakan aku. Kita orang memang suka kenakan antara satu sama lain. Hampir pukul 12 malam tiba-tiba Firdaus ajak lepak dekat luar. Aku dah dapat yang rasa ada sesuatu yang tak kena sebab tiba-tiba je dia ajak berbual di luar. Tambah-tambah pula dah nak dekat 12 malam. Tapi aku layankan je dengan perangai tiba-tiba aneh dia tu. Aku berdiri menghadap jalan bertentangan dengan dia. Masa tengah berborak entah macam mana tanah liat kecil yang aku ambil daripada adik yang aku sibuk mengentel dari siang tadi terjatuh. Aku cepat-cepat tunduk untuk ambil benda tu. Risau kalau-kalau lebih banyak tanah dan benda lain yang melekat pada tanah liat itu. Masa aku tengah tunduk tu tiba-tiba aku rasa ada air mercik kena aku dan bila aku bangun aku tengok Firdaus dah basah dan muka dia dipenuhi tepung.

Aku terkaku kejap. Tak tahu nak ketawa atau perlu rasa kesian tengok Firdaus yang dah macam kakak aku pakai bedak sejuk waktu malam sebelum tidur tapi kali ni versi 3-4 kali ganda tebal. Aku pusing belakang dan nampak sebelah tangan akak dan adik masing-masing pegang gayung dan satu plastik tepung manakala tangan sebelah lagi tutup mulut yang aku agak besar sangat terbuka sebab terlampau terkejut.

“Akak! Kenapa baling dekat Aqil?” Firdaus lap mukanya untuk membuang sedikit tepung basah yang menghalang pandangan matanya. “Adik pun.” Dia tambah lepas mata dia dah bersih dari tepung.

Aku yang pada mulanya tak pasti reaksi yang macam mana aku bagi tak tahan juga nak tergelak. Bergoyang-goyang jugalah bahu aku ni menahan gelak.

“Adik ikut akak je.” Kedua-dua tangannya di angkat.

Firdaus pandang akak meminta penjelasan.

“Akak tak expect dia akan tunduk.” Akak cuba bela diri sambil cuba menahan gelak.

“Eee muka abang Aqil macam hantu.” Selamba badak je adik cakap macam tu sebelum dia ketawa geli hati.

“Ini namanya… Senjata makan tuan.” Aku yang dari tadi menahan gelak terus gelakkan Firdaus sekuat dan sepuas hati mengingatkan prank tak jadi dia orang.

“Akak. Plan B.” Suara Firdaus perlahan tapi ada nada sinis.

Aku menekan perut sambil gelak seperti tiada tanda-tanda nak berhenti. Aku sibuk gelak sampai tak perasan dengan rancangan kedua mereka. Apa yang aku perasan tiba-tiba ada benda melekat pada badan baju aku dan sedikit di bahagian lengan dan tengkuk. Aku calit untuk melihat benda itu. Tepung dan telur. Kurang asam.

“Happy birthday, bruh” Giliran Firdaus pula yang ketawa dan tidak lama selepas itu akak baling tepung bercampur telur lagi ke arah aku. Tak sempat nak elak. Tapi kali ni Fridaus pun terkena sekali. Aku balas balik. Terkena sikit je. Adik awal-awal lagi dah lari masuk rumah. Main tipu. Lepas tu kami sambung baling. Suara akak paling nyaring. Perempuan menjerit sampai rasa berdengung telinga. Apa yang pasti ebelum kami masuk rumah memang setiap dari kami dah terkena dengan tepung bercampur telur.

Esoknya kami dapat takzkirah free daripada mak. Tak berhenti mak membebel. Katanya membazir baling-baling tepung. Benda itu kan untuk di makan. Telur pun, bukannya murah sangat sekarang ni. Bla bla bla. Akak dan Firdaus bagi pandangan tajam pada adik sebab mereka benar-benar yakin yang mereka dah hapuskan bukti kami baling-baling tepung semalam termasuk membasuh baju-baju kami sendiri semalam untuk elakkan dari dikesan. Tapi kalau sampai mak pun dah tahu ni tak lain tak bukan mulut adik yang mengkantoikan hal semalam.

Tak! Bunyi dari kettle membawa aku ke masa sekaran. Separuh air panas dimasukkan ke dalam cawan kacau. Tambah air masak lagi ke dalam cawan. Kacau. Rasa. Masukkan dalam plastik tambah ais. Macam beli kat kedai lah. Versi pekat.

‘Firdaus masih tak sedar.’ Ada suara berbisik dalam kepala aku.

Aku segera capai helmet dan beg sandang serta kunci motor bila teringat yang Firdaus masih di hospital dan tidak sedarkan diri. Patutlah Firdaus tak balas-balas mesej aku. Aku menyumpah diri sendiri sebab terlupa hal ini. Tak sabar rasanya nak beritahu yang aku dah dapat lesen aku semalam.

Katil Firdaus sudah pun kosong saat aku sampai di wad yang menempatkannya. Mesti dia dah discharged. Tapi kenapa dia tak beritahu aku. Dah lah jauh nak pergi sini. Membazir masa aku betul. 

Aku segera ke rumah Firdaus. Aku gunakan kunci pendua yang diberikan Firdaus. Kenapa dia bagi aku kunci pendua? Sebab dia tahu yang parents dia macam tak berapa nak gemar aku rapat dengan dia jadi aku boleh masuk ke dalam rumah dia dengan senyap tanpa diketahui oleh sesiapa pun kecuali mak yam, orang gaji di rumah tersebut yang menggantikan kerja mak aku dulu yang biasanya akan bukakan pintu belakang untuk membolehkan aku masuk. Dan benda ni sebenarnya bukannya baru lagi aku buat. Sejak tiga tahun lepas lebih spesifik.

Aku ketuk pintu tiga kali sebagai kata laluan. Aku tunggu beberapa saat sebelum mak yam membuka pintu. Mukanya terkejut. Aku letak jari dibibir sebagai isyarat untuk dia senyap tidak mengeluarkan apa-apa suara. Aku tahu aku tak sepatutnya berada di sini hari-hari begini terutamanya pada waktu-waktu begini. Aku menyelinap ke bilik Firdaus di tingkat atas.

Belum sempat aku nak membebel Firdaus sebab tak beritahu aku yang dia dah discharge, aku tengok biliknya kosong. Cadar pula masih elok. Tiada tanda-tanda orang baring. Aku periksa bilik air. Pun masih tiada orang. Aku jadi pelik bila tak nampak batang hidung dia. Aku syak parents dia dah tahu yang aku dan keluarga aku dah semakin rapat kembali dengan Firdaus. Itu yang dia cuba nak pisahkan kami lagi.  Aku tiba di rumah ketika mak sedang menyediakan makan tengah hari.

“Ammar dari mana tadi?” Lembut je dengar suara mak. Tapi masih belum mampu untuk sejukkan hati aku yang tengah panas ni.

Aku hanya berdiri di dapur memandang mak dengan muka tak puas hati. Geram dengan parents Firdaus.

“Kenapa ni?”

“Sakit hati.”

“Explain.” Aku hampir nak ketawa dengar mak tiba-tiba speaking tapi terbantut bila teringatkan parents Firdaus.

“Dah besar pun perangai masih macam budak-budak.”

Mak diam.

“Ammar geram lah mak. Mula-mula si Firdaus ni tak reti-reti nak balas mesej Ammar dari pagi tadi. Lepastu tadi bila teringat yang Firdaus masih di hospital, Ammar pergi lah hospital. Tengok-tengok dia takde. So, Ammar expect dia dah balik rumah. Tapi bila Ammar pergi rumah Firdaus tadi pun, dia masih takde. Ini tak lain tak bukan mesti parents Firdaus yang cuba jauh Firdaus dari kita semua lagi. Dengki sangat perangai. Padahal dah besar. Tapi perangai macam budak-budak.” Aku lepaskan segala yang terbuku di hati.

Raut wajah mak berubah. Mata dia berkata. Mesti mak pun sedih sebab kami terpisah dengan Firdaus lagi. Mak menghampiri dan terus memeluk aku. Ketat. Ada setitis air mata jatuh di bahu aku. “Ammar…” Suara mak tersekat-sekat.

Aku pula yang pelik melihat reaksi mak. “Kenapa ni mak? Rilex la. Nanti-nanti kita boleh jumpa Firdaus lagi.” Aku cuba sedapkan hati mak walaupun aku sendiri tak yakin bila lagi aku boleh jumpa dia.

“Ammar. Mak pun sedih. Tapi kita kena redha.”

Aku diam.

“Ammar tak ingat?”

“Apa yang Ammar kena ingat?”

“Firdaus… Daus dah takde.”

“Memanglah dia dah takde. Kan Ammar beritahu tadi parents dia dah bawa dia jauh dari kita.”

“Ammar! Tolong lah sedar.” Suara mak merayu. “Aqil… Firdaus dah takde. Aqil Firdaus dah meninggal!”

“Mak jangan main-main lah.” Suara aku sedikit meninggi. Bukan niat aku untuk kurang ajar. “Baru semalam Ammar nampak Firdaus dekat hospital.”

“Itu… itu hari terakhir kita semua nampak dia.” Suara mak sebak.

“Mak tipu!” Aku lepaskan pelukan mak. Aku capai telefon bimbit dan segera mendail nombor Firdaus. Aku yakin sejauh mana pun parents dia bawa dia pergi, Firdaus akan tetap bawa telefon bimbit dia. Aku tak percaya dengan apa yang mak cakap sebab itulah aku cuba menghubungi Firdaus. aku harap sangat dia akan angkat telefon ini. Dapat. Jadi, Firdaus tak matikan lagi telefon dia. Bunyi telefon Firdaus kedengaran dalam beg sandang aku. Aku keluarkan telefon dan tertera nama aku. Pada waktu itu kaki aku kaku seolah melekat di lantai tapi dalam masa yang sama lutut aku serasa longgar dan aku terjelopok jatuh. Melutut di lantai.

Mak menangis. Kali ini lebih kuat. “Daus dah takde.” Suaranya kedengaran merintih sebelum dia kembali memeluk aku.

Air mata aku tumpah bila mengingat kembali hakikat yang aku masih belum mampu untuk menerimanya. Memang benar Firdaus sudah tiada. Dia disahkan meninggal semalam. Meninggal disebabkan dendam seseorang yang sengaja ingin membunuhnya. Memang semalam adalah hari terakhir kami semua lihat dia. 

Telefon bimbit Firdaus aku gengam. Memang aku sengaja ambilnya sebagai satu-satunya barang kenangan milik dia. Sampai hati kau pergi tinggalkan kami semua macam ini Aqil Firdaus. Kau memang jahat. Kenapa tak bangun dulu untuk ucapkan selamat tinggal sebelum kau pergi. Kenapa kau biarkan kami semua rasa terkilan dan serba salah. Kenapa kau dera perasaan kami? Sekarang kau dah takde. Siapa lagi yang akan temankan aku lepas ni? Aku rindu nak dengar kau ketawa. Masa kita jumpa dalam mimpi semalam pun aku tak dengar pun kau ketawa. Belum satu hari, aku dah rindukan kau. Kenapa cepat sangat kau tinggalkan aku? Aku sayangkan kau. Tapi ini yang buat kan? Kenapa kau pergi dulu?

No comments:

Post a Comment